DISEMBER 2023

Memperjuang MA63 Keutamaan Fadillah


KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof yang menerajui kementerian baharu dalam rombakan kabinet persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini akan memberi keutamaan meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di tempat sepatutnya.

Dalam rombakan kabinet itu, Dato Sri Anwar Ibrahim mengumumkan, Fadillah sebagai Timbalan Perdana Menteri mengetuai kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Gaya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

Sebelum rombakan kabinet, Fadillah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Fadillah menegaskan, pelantikan beliau mengetuai kementerian baharu itu sekali gus mahu merapakatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

Rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri hari ini, katanya, bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Pelantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu menyusun semula bidang kuasa di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang teah disusun rapi oleh Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat, tegas beliau.

Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet, Fadillah berkata, kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita menggerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil.

“Saya juga percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap

Menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak,” katanya.

Beliau mengajak semua barisan Kabinet baharu diumumkan untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam Kerajaan Madani dalam mendepani tahun 2024 dan tahun-tahun seterusnya yang dijangka akan lebih mencabar tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik.

“Semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia Madani yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” tegas Fadillah.

Sumber dari : Jiwa Bakti